COSMIC 2021 February: From SGM General Director (Malay language)

   
Setiap Orang Bertangggungjawab Memerangi Pandemik ◄ Back to COSMIC 2021 February
 

COVID-19 telah wujud kira-kira satu tahun. Pandemik itu bukan sahaja tidak reda tetapi juga masih berleluasa di seluruh dunia, dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada ini. Bilangan kes yang melonjak tinggi memaksa kerajaan sekali lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara yang lebih membimbangkan ialah ada senario ramalan yang menyatakan bahawa pandemik ini akan menjadi semakin buruk dengan 8.000 kes setiap hari menjelang pertengahan bulan Mac, malah melebihi 10,000.

Ada juga kebimbangan bahawa sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan – keadaan ini benar- benar membimbangkan.

Setelah setahun bertungkus lumus menentang wabak itu, kita masih lagi belum menang. Ini adalah kerana langkah-langkah yang dilaksanakan belum cukup tegas dan kesedaran rakyat untuk menentang penyakit ini masih lagi tidak mencukupi. Ada juga orang ramai yang bersikap acuh tak acuh, mementingkan diri sendiri dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Mereka mengamalkan sikap endah tak endah, malah bersikap angkuh terhadap wabak ini.

Sebagai akibatnya, pegawai-pegawai perubatan kita yang menyelamatkan nyawa dan melindungi kesihatan kita daripada pandemik di barisan depan inilah yang paling menderita. Dalam masa setahun yang lepas, mereka menjadi sangat letih dari segi mental dan fizikal, dan tidak ada pengakhiran dalam perjalanan jauh menentang penyakit ini.

Rakyatlah yang lebih menderita – ramai yang kehilangan pekerjaan atau kerjaya mereka musnah. Setiap bidang dan industri menerima tamparan. Kerajaan lebih bimbang sekiranya situasi ini berterusan untuk jangka masa yang lama, rakyat mungkin mati kebuluran dan negara mungkin menjadi muflis.

Selepas satu tahun, kita tidak ada pilihan, kita perlu merenung semula pengajaran yang menyakitkan yang telah kita tempuhi, mengkaji kesilapan kita dengan teliti, memperbaiki keadaan dan merangka strategi baharu supaya kita mampu menamatkan pandemik ini dengan secepat mungkin.

Rakyat mestilah mempunyai kesedaran baharu mengenai COVID-19. Penyakit ini bahaya, berada di sekeliling kita dan sentiasa bermutasi. COVID 19 tidak membeza-bezakan – sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, miskin atau kaya. Selagi anda lalai walaupun untuk seketika, selagi itulah anda akan dijangkiti.

Perkara yang paling menakutkan kita ialah walaupun anda telah mengambil langkah berjaga-jaga, anda masih lagi berisiko untuk dijangkiti, sebab anda tidak tahu bahawa orang yang anda dampingi itu dijangkiti atau tidak.

Walau bagaimana pun, setiap orang mestilah melakukan segala yang terdaya olehnya, memainkan peranannya dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu. Kita janganlah hanya menjaga diri kita tetapi hendaklah menjaga orang lain juga, bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkuasa, di samping bersatu padu supaya kita berupaya mengatasi pandemik ini.

Pada peringkat global, kita berharap agar setiap negara akan mengetepikan segala prasangka dan menganggap semua manusia sebagai satu komuniti ynag berkongsi nasib yang sama, tumpukanlah pada usaha menyelamat dan melindungi ratusan juta nyawa, berikanlah keutamataan kepada penjagaan kesihatan yang baik, sama-sama berganding bahu dalam perpaduan yang padu untuk menghasilkan strategi yang berupaya menewaskan pandemik ini.

Walaupun masa ini nampaknya gelap, janganlah kita berputus harapan. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden SGI, Encik Daisaku Ikeda bahawa selagi kita mempunyai harapan, selagi itulah kita mampu menerokai jalan. Malah, suatu rantaian penderitaan yang tiada berkesudahannya boleh menjadi peluang untuk melonjak maju ke hadapan.

Kita mempraktikkan amalan Hukim Mistik, daya penggerak asas alam semesta yang hebat dan hukum asas yang abadi. Selagi kita berpegang pada kepercayaan dalam agama sehingga akhir di samping mengambil tindakan, selagi itulah kita mampu mengubah semua keadaan yang tidak memihak kepada kita, mengatasi segala kesukaran dan membina dunia yang indah.

 

◄ 2021 Jan                 2021 Mar ►



Print