COSMIC 2020 September: From SGM General Director (Malay language)

   
TPNW Perlu Berkuatkuasa Segera ◄ Back to COSMIC 2020 September
 

Tarikh 6 dan 9 Ogos baru-baru ini merupakan hari ulang tahun ke- 75 Hiroshima dan Nagasaki dimusnahkan dengan bom atom.

Meskipun 75 tahun sudah berlalu bagi kedua-dua tragedi itu, namun umat manusia masih belum mengambil iktibarnya, dan keadaan ledakan senjata nuklear sekarang sangat membimbangkan. Negara-negara pembuat senjata nuklear terus-menerus mengeluarkan senjata nuklear dan nekad untuk memodenkan gudang senjata nuklear mereka. Pada masa ini terdapat 13,865 senjata nuklear, dan risiko percambahan senjata nuklear serantau semakin meningkat.

Pada 7 Julai 2017, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerima-pakai Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) – yang mengharamkan senjata nuklear – dan mencapai langkah pertama yang bersejarah bagi penghapusan senjata nuklear.

Namun, bagi tujuan penguatkuasaan TPNW, Perjanjian itu hendaklah diratifikasi oleh 50 buah negara. Setakat ini, 44 buah negara sudah berbuat demikian dan kita sudah hampir untuk menyaksikan Perjanjian ini berkuatkuasa.

Seperti yang dinyatakan Presiden SGI, Encik Daisaku Ikeda dalam Usul Keamanan 2020 beliau: “TPNW sebenarnya melangkaui gambaran bagaimana senjata nuklear memberikan risiko terhadap keselamatan umat manusia. ...pokok Perjanjian itu ialah wawasan bagaimana semua usaha yang saling berkaitan dilancarkan bagi pelucutan senjata nuklear dan dimajukan langkah membentuk dunia yang melindungi hak manusia dan menjuarai persamaan jantina, dunia yang melindungi kesihatan generasi sekarang dan mendatang, dan dunia yang mengutamakan integriti ekologi.”(1)

Sebagai sebuah pertubuhan yang matlamat utamanya untuk membentuk keamanan sedunia, Soka Gakkai Malaysia (SGM) sedang aktif mengorak langkah membolehkan Malaysia meratifikasi TPNW itu dengan secepat mungkin.

Contohnya, pada bulan September tahun lalu SGM menganjurkan Larian Keamanan (“Run for Peace”) di 28 tempat di seluruh negara dan mengeluarkan sebuah Pengisytiharan Keamanan kepada khalayak ramai: “Kami menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan senjata nuklear, termasuk meratifikasikan TPNW.”

Pada bulan Februari pula SGM membuka laman Facebook dan Instagram Rakan TPNW untuk tujuan mempertingkatkan kesedaran khalayak ramai tentang ancaman senjata nuklear.

Selain itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini SGM telah menganjurkan pameran “Semua yang Anda Hargai – Sebuah Dunia yang Bebas Senjata Nuklear” (EYT) untuk sentiasa mempromosikan kesedaran anti senjata nuklear di kalangan rakyat.

Pendirian Malaysia yang anti senjata nuklear sentiasa jelas dan merupakan salah sebuah negara yang secara aktif mempromosikan penghapusan senjata nuklear, termasuklah usaha menyekat penularan senjata nuklear, memperluas zon bebas senjata nuklear dan menyokong perjanjian- perjanjian pelucutan nuklear anjuran PBB.

Pada peringkat ini kita berharap agar kerajaan kita akan berusaha keras dalam menyelesaikan isu-isu perundangan dan teknikal untuk membolehkan Malaysia menjadikan salah sebuah 50 negara pertama yang meratifikasikan TPNW, supaya senjata nuklear dapat diharamkan demi memastikan kelangsungan hidup umat manusia.

Sifat sebenar senjata nuklear berakar pada fungsi kejahatan yang wujud dalam hidup kita. Dalam tahun-tahun 1950an, presiden kedua Soka Gakkai Encik Josei Toda melancarkan Pengisytiharan Gesaan untuk Menghapuskan Senjata Nuklear, mendorong kita memerangi kejahatan, keganasan, kejahilan dan prejudis yang mengancam maruah hidup kita, serta memusnahkan kuku-kuku syaitan yang bersembunyi sedalam-dalamnya di tengah-tengah senjata nuklear.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan PBB dan ulang tahun ke-50 berkuatkuasanya Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT). Marilah kita bekerja keras sebagai sepasukan untuk menghapuskan senjata nuklear – sebelum senjata itu membinasakan kita – dan mewujudkan masa hadapan yang indah bagi kelangsungan hidup umat manusia.

(1) COSMIC, Julai 2020, hlm. 36.

 

◄ 2020 Aug                 2020 Oct ►



Print