COSMIC 2020 June: From SGM General Director (Malay language)

   
Langkah Berjaga-jaga dalam Tempoh Pemulihan ◄ Back to COSMIC 2020 June
 

Setelah beberapa bulan bekerja keras menentang pandemik COVID-19, negara kita akhirnya berjaya mencegah wabak itu daripada menjadi lebih buruk. Perdana Menteri mengumumkan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kita sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa dari 10 Jun hingga 31 Ogos.

Kerajaan juga turut mengumumkan kelonggaran. Selain membenarkan rakyat merentasi sempadan negeri, hampir kesemua sektor mula beroperasi semula secara berperingkat-peringkat.

Bagi rakyat, ini adalah berita baik sebab mereka sekarang mempunyai lebih banyak kebebasan. Walau bagaimanapun, apabila industri dan sektor lain, termasuk pasaran perniagaan dibuka, hubungan dan perjalanan dalam kalangan orang ramai akan bertambah. Risiko penyebaran pandemik akan turut meningkat semula. Oleh itu, perkara yang penting ialah kita haruslah berhati-hati dan bersikap berjaga-jaga terhadap gelombang kedua dan ketiga pandemik tersebut.

Selain menjaga diri kita sendiri dengan baik, menjaga orang lain juga penting – ini bermakna selain daripada memastikan kita tidak dijangkiti penyakit tersebut, kita juga harus membantu untuk memastikan penyakit itu tidak tersebar kepada orang lain.

Sebagai sebuah organisasi, SGM akan meneruskan semula semua aktiviti kosen-rufu secara berperingkat, dan mengambil langkah-langkah ketat untuk memastikan tempat atau pusat aktiviti kami tidak menjadi kelompok jangkitan.

Dari segi peribadi, kita janganlah cuai dalam langkah-langkah menjaga kebersihan diri, seperti kerap membersihkan tangan, memakai pelitup muka, memberi perhatian terhadap penjarakan sosial, mengelak daripada menyentuh mata, hidung dan mulut kita, menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang sesak dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menjadi lali atau kurang memberi perhatian kepada langkah- langkah pencegahan yang selalu disebut merupakan musuh utama kita. Oleh itu, kita hendaklah berjaga-jaga.

Selain itu, Presiden SGI, Encik Daisaku Ikeda juga mengingatkan kita bahawa usaha mengurangkan tekanan kita akan meningkatkan daya tahan tubuh kita, dan kita haruslah mendapat tidur yang secukupnya, makan sarapan yang seimbang dan kerap bersenaman, memastikan kita mempunyai rentak kehidupan harian yang baik.

Sebagai rumusannya, nyawa, keselamatan dan kesihatan kita menjadi keutamaan nombor satu. Oleh itu, usaha mencegah wabak penyakit tersebut haruslah dianggap sebagai tugas yang paling penting.

Di samping itu, pandemik ini telah mengakibatkan wujudnya masalah seperti kehilangan pekerjaan, penutupan syarikat dan krisis kewangan. Banyak orang yang sangat risau dengan masalah- masalah ini dan bimbang tentang kehidupan seharian serta masa hadapan mereka.

Kita hendaklah menunjukkan keprihatinan kita terhadap orang yang menderita, berempati dengan mereka, memberi dorongan dan harapan, dengan itu akan membangkitkan semangat juang mereka untuk mencabar dan mengatasi kesusahan mereka dengan kepercayaan dalam agama yang tidak goyah dan seterusnya mencapai kejayaan.

Tidak kira betapa buruknya keadaan, selagi kita menjadikan kuasa penjanaan semula Hukum Mistik sebagai asas untuk diri kita, selagi itulah kita pasti akan mengatasi semua masalah dan menerokai jalan yang baharu.

Pandemik ini menyebabkan lebih ramai orang yang dilanda penderitaan. Ramai orang yang diberhentikan kerja, kehilangan pekerjaan, gaji mereka dipotong, perniagaan mereka muflis, menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan yang teruk.

Keadaan ini memberi kita peluang yang baik untuk shakubuku. Kita hendaklah merebut peluang ini untuk berkongsi Buddhisme Nichiren dengan orang yang sedang menderita ini, membolehkan mereka menjalinkan ikatan karma dengan Buddhisme dan mengubah nasib malang menjadi rezeki.

Presiden Ikeda berkata bahawa semangat Soka Gakkai bermakna tidak kira apa yang berlaku dalam laluan kosen-rufu, tidak kira bagaimana keadaan berubah, kita hendaklah mara dengan mantap ke arah kosen-rufu dan sedar akan tekad kita untuk kosen-rufu.

Walau pun pandemik ini merupakan pukulan dan rintangan yang serius, kita haruslah, seperti kata Presiden Ikeda, “gunakanlah kepintaran kita supaya kita berupaya terus menghasilkan kemajuan baharu dan bergerak menuju ke arah harapan, kejayaan dan hari esok yang baharu.”(1)

Kita haruslah bulatkan tekad dengan sepenuh hati untuk menentang arus pandemik ini dan juga kesusahan yang diakibatkannya, seterusnya menerokai jalan menuju kejayaan.

(1) Daisaku Ikeda, The New Human Revolution, vol. 30, bab “Awaiting the Time.” Buku kecil terbitan SGM ber- nombor 118 (2019), hlm. 131–32.

 

◄ 2020 May                 2020 Jul



Print