COSMIC 2019 August: From SGM General Director (Malay language)

Marilah Berganding Bahu Membina Blok Fajar Baharu ◄ Back to COSMIC 2019 August
 

Kempen “Blok Fajar Baharu 1233” yang dilancarkan pada awal tahun ini kini pesat bergerak di seluruh negara.

Buat masa ini, Blok-blok Fajar Baharu ditubuhkan satu per satu di setiap pelusuk negara setiap masa sepanjang hari.

Pencapaian setiap Blok Fajar Baharu bukanlah tugas yang mudah. Di sebalik setiap pencapaian itu terdapat kerja keras dan usaha ramai belia dan pemimpin SGM. Kita hendaklah menyambut baik dan menghargai hasil titik peluh mereka.

Kempen Blok Fajar Baharu merupakan kempen yang mendatangkan kebaikan besar. Dalam kempen ini terdapat kebaikan besar shakubuku, dan menggalakkan ahli-ahli kita mengabadikan Gohonzon sebagai objek pemujaan dalam amalan agama Buddha mereka. Selain itu, kita juga memupuk para belia sebagai pewaris yang berkaliber dan mempertingkat tahap gerakan pengajian agama Buddha.

Sudah ada ramai pemimpin dan ahli yang berjaya memperoleh rezeki dan berkongsi pengalaman mereka. Menerusi perjuangan mereka dalam kempen ini mereka memperkukuh kepercayaan mereka dan menikmati keriangan serta kepentingan kempen.

Kita ingin mencadangkan supaya kita semua berkongsi secara meluas pengalaman yang bernilai ini dan bercakap mengenai segala usaha ini dengan orang lain. Biarlah rasa keriangan dan kemenangan daripada pengalaman ini tersebar kepada lebih ramai orang. Biarlah lebih ramai ahli memahami dengan lebih mendalam kepentingan hebat kempen ini – suatu kempen yang membawa kebaikan besar yang sesungguhnya berupaya mengubah karma kita – dan membolehkan mereka turut serta secara aktif.

Dalam dunia kepercayaan, nilai rezeki yang kita perolehi dan semantap mana kita membentuk jalan kebahagiaan di dalam hidup kita merupakan perkadaran langsung dengan sebanyak mana kita bertindak dan bertungkus lumus demi orang lain. Ini adalah selaras dengan hukum tegas sebab dan akibat.

Kepada blok-blok yang sudah mencapai matlamat 1233 dan muncul sebagai Blok Fajar Baharu, kita berharap anda semua akan membantu blok-blok lain yang belum mencapai matlamat-matlamat itu.

Ketika kita berusaha ke arah matlamat yang sama, marilah kita menggalakkan setiap kita, berkongsi bersama serta membantu setiap orang. Dengan berbuat demikian kita akan bersatu hati dan memperkukuh kekerabatan kita, dan juga menghasilkan suatu suasana perangsangan bersama yang bakal menguatkan perpaduan seluruh pertubuhan dalam negara.

Setakat akhir Jun, hanya 500 daripada 1,745 blok di seluruh negara yang mencapai status Blok Fajar Baharu. Masih jauh lagi daripada matlamat muktamad kita. Bagaimanapun, seperti yang pernah disebut oleh Presiden Ikeda, “Semakin besar cabaran yang kita hadapi, maka semakin seronoklah kemajuan kita nanti! Marilah kita menyahut cabaran-cabaran kita dengan ceria! Inilah inti pati agama Buddha, cara hidup yang tertinggi.”(1)

Selagi semua rakan seperjuangan di seluruh negara bersatu dalam semangat banyak dalam badan tetapi satu dalam hati, serta menegakkan semangat yang tinggi, kita nescaya akan mencapai matlamat kita.

Presiden Josei Toda berkata: “Kita mestilah berjaya dalam mana-mana kempen bagi kosen-rufu.” Kempen Blok Fajar Baharu merupakan sebahagian daripada usaha ulung kosen-rufu. Kita mesti menang; kekalahan tidak boleh diterima.

Tahun ini ialah Tahun Kemenangan Soka, dan kita mestilah menang dalam segala usaha kita demi kosen-rufu. Hanya begitu Tahun Kemenangan Soka akan membawa makna sebenar. Wahai rakan seperjuangan, marilah kita tegakkan dan membentuk gerakan serta semangat yang kita miliki, dan memupuk perpaduan di seluruh negara, menggandakan usaha kita dan mencapai kemenangan yang menyeluruh sambil kita mara ke arah sambutan ulang tahun ke-90 Soka Gakkai.

(1) Daripada ucapan yang diberi pada 28 Jun 1993 (penterjemahan sementara).

 

◄ 2019 Jul                 2019 Sep



Print