COSMIC 2018 May: From SGM General Director (Malay language)

Semoga Ibu-ibu Sedunia Senyum Keriangan ◄ Back to COSMIC 2018 May
 

Kasih sayang ibu
tidak boleh dihalang
oleh belenggu bahasa,
oleh dinding kebangsaan yang dingin,
atau oleh konflik dan
perjuangan ideologi.
Kasih sayang ibu,
umpama batas lurus
antara sawah padi,
adalah emosi yang dikongsi bersama
oleh semua orang di mana jua.
(1)

Baris-baris di atas merupakan puisi yang ditulis oleh Presiden Ikeda sebagai sanjungan kepada ibu-ibu di seluruh dunia.

Pada bulan Mei, kita meraikan Hari Ibu Soka Gakkai, sudah pastilah setiap orang di Soka Gakkai teringat akan ibu kita. Saya pasti kita semua percaya bahawa kemuliaan ibu kita adalah lebih tinggi daripada gunung-ganang dan lebih dalam daripada lautan. Kasih sayang ibu juga adalah kasih sayang yang paling mulia dan tidak mementingkan diri sendiri.

Dari masa kita dilahirkan, ibu kita mendidik kita, memupuk kemanusiaan kita. Betapa banyak kegigihan yang teleh dicurahkannya dalam usaha ini! Betapa banyaknya kasih sayang yang telah didedikasikan kepada kita! Penulis agung, Dante Alighieri pernah mengaitkan usaha ibu – yang hanya dapat difahami oleh ibu – umpama hujan gerimis yang turun pada malam musim bunga, tiada siapa yang menyedarinya.

Oleh itu, sebagai anak, kita haruslah bersyukur terhadap ibu kita dan taat setia kepada mereka. Inilah tanggungjawab dan etika asas yang harus dimiliki oleh manusia. Presiden Ikeda berkata bahawa, “Kehilangan rasa kesyukuran seseorang bermakna kehilangan bahagian yang tersangat penting dari segi kemanusiaannya.”(2)

Malahan, dalam alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan dan haiwan juga tahu cara untuk bertindak balas dan menunjukkan penghargaan. Oleh itu, sekiranya kita sebagai manusia tidak taat setia kepada ibu kita yang membesarkan kita, maka kita tidaklah lebih baik daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Dalam “Precepts for Youth”, presiden kedua Soka Gakkai, Josei Toda, mengingatkan para belia bahawa: “Pada hari ini, banyak orang muda yang tidak menyayangi ibu bapa mereka langsung, bagaimanakah mereka akan menyayangi orang lain?”

Masyarakat hari ini semakin memandang enteng terhadap soal ketaatan terhadap ibu bapa. Ramai anak yang mengabaikan ibu bapa mereka, manakala ada yang terbawa-bawa dengan tingkah laku yang sangat membimbangkan ibu bapa mereka. Kita haruslah mencegah gejala ini daripada merebak. Marilah kita memupuk jalan luhur mengenai ketaatan seterusnya membina sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni dengan berlandaskan Hukum Mistik sebagai asas.

Bagaimanakah kita merealisasikan ketaatan terhadap ibu bapa?

Adakalanya bukanlah wang atau pemilikan harta benda yang dapat membahagiakan ibu bapa. Senyuman manis atau ucapan “Terima kasih” kepada ibu bapa kita sebagai tanda kesyukuran atau membantu ibu kita dengan kerja-kerja rumah untuk meringankan beban mereka – malah panggilan telefon untuk menunjukkan keprihatinan dan penghargaan kita – adalah cara-cara yang akan menyebabkan ibu bapa kita berasa benar-benar bahagia.

Dalam Gosho “The Four Virtues and the Four Debts of Gratitude” (“Empat Sifat Baik dan Empat Budi”), Nichiren Daishonin mengajar bahawa: “Oleh itu, seseorang yang mendukung Sutra Teratai adalah membalas budi ibu dan bapanya.” (WND-2, hlm. 638) Ini bermakna bahawa mendukung Hukum Mistik dan berusaha gigih demi kosen-rufu sesungguhnya adalah jalan agung menuju ke arah ketaatan terhadap ibu bapa. Sekiranya ibu bapa kita masih belum memulakan amalan agama, maka bentuk ketaatan tertinggi yang boleh kita tunjukkan kepada ibu bapa adalah membolehkan mereka mengamalkan pempraktikan agama Buddha Nichiren agar mereka dapat mencapai kondisi kehidupan tertinggi Alam Buddha sepanjang tiga kewujudan.

Marilah kita membahagiakan ibu kita; biarkanlah mereka senyum keriangan – maka dunia akan menjadi tempat yang lebih indah!

Semoga Ibu-ibu Sedunia Senyum Keriangan

(1) Daisaku Ikeda, The New Human Revolution, buku 93 “Ode to Mothers” (Soka Gakkai Malaysia, 2011), hlm. 59.
(2) Ibid., hlm. 49.

◄ 2018 Apr                 2018 Jun



Print