COSMIC 2014 December: From SGM General Director (Malay language)

Mara ke Arah Tahun Pembangunan Dinamik dalam Zaman Baru Kosen-rufu Sedunia dengan Perpaduan yang Harmoni ◄ Back to COSMIC 2014 December
 

Masa tidak menunggu kita. Tahun 2014 hampir berakhir dan tirai tahun 2015, Tahun Pembangunan Dinamik dalam Zaman Baru Kosen-rufu Sedunia, akan terbuka.

Presiden SGI, Encik Daisaku Ikeda menulis: “Huruf Cina yaku, yang diterjemahkan di sini sebagai ‘dinamik’, juga bermaksud ‘melompat’, ‘melonjak-lonjak’ atau ‘menari-nari.’ Bermara ke depan dengan tubuh dan minda yang menari dengan riang – inilah semangat pembangunan atau kemajuan yang dinamik.”(1)

Beliau juga berkata: “Selain itu, satu daripada dua komponen huruf Cina yaku juga mengandungi maksud ‘kaki.’ Kewujudan asas yang kukuh memberikan kekuatan yang tidak terhingga. Asas ini terdiri daripada perkara seperti keluarga kita, komuniti, tempat kerja atau sekolah, dan lain-lain – lalu membentuk sulaman kehidupan yang dijalinkan oleh talian hubungan antara manusia yang tidak terkira.

Komponen kedua huruf ini dipercayai diperoleh daripada gambaran burung yang mengembangkan sayap tatkala bersedia untuk terbang.

Semoga anda semua mengembangkan sayap seluas-luasnya dan terbang bebas di atas pentas misi masing-masing.”(2)

Setiap ahli SGM merupakan watak utama dalam Tahun Pembangunan Dinamik dalam Zaman Baru Kosen-rufu Sedunia. Apabila setiap orang berkembang dan memainkan peranan masing-masing, pembangunan dinamik kosen-rufu sedunia akan tercapai, dan seterusnya menyinari dunia ini.

Pada tahun 2015, Soka Gakkai Malaysia (SGM) akan mengambil tiga hala tuju utama, iaitu “shakubuku dan pengembangan”, “memupuk insan yang berbakat dan “mengukuhkan pembelajaran agama Buddha”, dengan tumpuan dalam tiga aktiviti utama berikut:

• Kempen sumbangan khas untuk Pusat Latihan SGI Asia Tenggara
• Larian Keamanan
• Pameran “Everything You Treasure: for a World Free from Nuclear Weapons”

Tentang shakubuku dan pengembangan, kita boleh menggalakkan ahli keluarga untuk menyertai SGM dan memperkenalkan agama Buddha kepada mereka dengan berkongsi pengalaman kita dalam mengamal agama Buddha dan berhadapan dengan cabaran hidup yang tersendiri.

Dalam memupuk insan yang berbakat, kita perlu memberikan galakan yang ikhlas di peringkat chapter, district dan group. Kita juga boleh menggalakkan seluruh keluarga untuk melakukan gongyo dan menghadiri aktiviti SGM bersama-sama.

Kita juga harus menggalakkan pemimpin SGM untuk mengambil bahagian dalam Akademi Latihan SGM, di mana mereka akan menerima latihan dan meningkatkan kebolehan.

Berkenaan mengukuhkan pembelajaran agama Buddha, kita harus gigih mempelajari Gosho dan bimbingan Encik Ikeda serta bimbingan tiga presiden pengasas Soka Gakkai. Kita juga harus bersungguh-sungguh mendalami kebijaksanaan falsafah agama Buddha dan membangkitkan semangat untuk menduduki ujian pembelajaran agama Buddha peringkat asas SGM pada tahun depan. Menghadapi cabaran ujian pembelajaran agama Buddha adalah satu lagi cara untuk meningkatkan keadaan hidup.

Apa yang paling penting ialah perpaduan yang harmoni. Sekiranya ahli SGM tidak harmoni dan bersatu padu, pembangunan dinamik kosen-rufu tidak akan tercapai.

Mengapakah kita perlu bersatu? Encik Ikeda menegaskan bahawa: “Sekiranya anda bersungguh-sungguh mengenai mencapai perpaduan, anda tidak harus mengkritik atau mencela ahli SGI di belakang mereka. Ini hanya mengwujudkan jurang di mana fungsi negatif boleh meresap masuk dan menyebabkan perpecahan dalam pertubuhan kita. Ini boleh menyebabkan keruntuhan ajaran Nichiren Daishonin.”(3)

Dalam Gosho, Nichiren Daishonin bertegas: “… sentiasa ingatlah bahawa orang yang mempercayai Sutra Teratai haruslah menjadi orang yang terakhir untuk mencerca sesama sediri.”(4) Kita tidak boleh memburuk-burukkan atau menghina rakan seperjuangan kita di belakang mereka apabila perkara yang tidak diingini berlaku.

Encik Ikeda terus berkata: “Untuk mencapai perpaduan, kita perlu melaksanakan revolusi manusia. Kita tidak boleh memupuk perpaduan tanpa mengatasi sifat mementingkan diri sendiri dan egotisme kita.”(5)

Marilah kita mengorak langkah dalam perjalanan kosen-rufu dalam semangat kesatuan mentor dan pengikut dengan sehati sejiwa bersama mentor kita dan tanpa penat lelah, menuju ke arah perpaduan!

(1) Daisaku Ikeda, “A Youthful Dynamically Developing Organisation”, daripada siri Our Brilliant Path to Victory, SGI Newsletter No. 8149 bertarikh 26.01.2011. Lihat juga Flow No. 504, hlm. 21
(2) Ibid.
(3) Daisaku Ikeda, The New Human Revolution, buku 97 “The Light of Happiness” (Soka Gakkai Malaysia, 2012), hlm. 32
(4) Nichiren Daishonin, “The Fourteen Slanders” (WND-1, hlm. 756)
(5) Ibid. nota kaki 3, hlm. 31

◄ 2014 Nov                 2015 Jan



Print